Tidak serik dicekup akibat dadah

MUKAH: Seorang ‘tokan’ dadah tidak serik apabila sekali lagi ditahan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Jalan Kampung Jebungan, Mukah, Isnin lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai buruh, 29, itu ditangkap dalam satu serbuan Ops Tapis.

Sebelum ini suspek pernah menjadi tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Renggam, Johor dari tahun 2017 hingga 2019 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas – LLPK) 1985.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek telah mendapat bekalan dadah daripada warganegara Indonesia di kawasan Pasar Lama, Bintulu dan kali terakhir berurusan pada 10 November lalu.

“Ketika tangkapan, suspek bertindak membuang objek daripada genggaman tangan kanannya di atas jalan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas objek tersebut, pasukan menjumpai satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 0.54 gram dengan nilai anggaran RM50,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, suspek yang berasal dari Miri itu dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan pengedaran dadah jenis syabu sejak awal tahun 2016 sehingga sekarang.

“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Mukah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak