Tidak tunduk taktik pembangkang – Henry Jinep

BAU: Penyandang Dun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep tidak akan tunduk terhadap taktik pembangkang yang menggunakan isu peribadi untuk menentangnya dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.

Beliau pasti calon-calon pembangkang akan menggunakan serangan peribadi ke atasnya kerana mereka ketandusan isu memandangkan beliau telah menyumbang secara signifikan dan menyeluruh terhadap pembangunan di kawasan.

“Apabila tiada isu lain, mereka akan cuba mencipta banyak isu peribadi tetapi dalam politik, saya tidak tunduk kepada taktik sedemikian dan saya juga tidak bertindak balas terhadapnya,” katanya ketika ditemu-bual Suara Sarawak.

Selain itu, Henry berkata dakwaan pembangkang bahawa beliau memberikan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada kroninya adalah tidak berasas.

“Untuk projek RTP, kita tidak pegang wang dan pemilihan kontraktor adalah melalui Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

“Kadang-kadang tender diberi secara cabutan undi, malah saya sendiri tidak tahu siapa kontraktor itu,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat di Tasik Biru agar memberi mandat baharu kepadanya pada PRN-12 ini demi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan itu.

Menurut Henry, sebaik sahaja menyandang kerusi itu pada 2016, beliau telah membawa pembangunan ketara kepada kawasan dan rakyat, dan berharap dapat menyumbang lebih banyak lagi.

“Saya sudah bersedia sejak menjadi YB. Saya masih turun padang bertemu rakyat untuk melihat dan mendengar masalah mereka, dan untuk cuba menyelesaikan isu-isu,” katanya.

Dalam pilihan raya negeri pada 2016, Henry daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) iaitu parti komponen Barisan Nasional (BN) ketika itu bertanding menentang Mordi Bimol dari DAP dan menang dengan majoriti 1,288 undi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak