UNIFOR agih dana kepada sekolah mubaligh

KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) mengagihkan bantuan dana berjumlah RM3.8 juta kepada 30 buah Sekolah Mubaligh Denominasi Roman Katolik Bahagian Kuching.

Penasihat Sekolah Mubaligh Denominasi Roman Katolik Kuching, Datuk Dr Penguang Manggil berkata pemberian serta pengagihan dana tersebut adalah satu langkah terpuji daripada Kerajaan Sarawak.

“Ini merupakan manifestasi kukuh Kerajaan Sarawak untuk mempertingkatkan martabat sekolah mubaligh yang selama ini menjadi lambang penyatuan serta tunjang perpaduan di negeri ini.

“Ini juga seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam mempraktikkan polisi inklusiviti semua kaum dan agama di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Sekolah Bantuan Kerajaan Mubaligh Sarawak bagi Sekolah Mubaligh Denominasi Roman Katolik Bahagian Kuching di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah UNIFOR Richard Lon, Uskup Agung Denominasi Roman Katolik Kuching Simon Poh, Pengerusi Majlis Sekolah-Sekolah Kristian Sarawak Douglas Telajan dan Pengerusi Majlis Pendidikan Archdiocesan Thomas Hou Kok Sen.

Menurut Penguang, Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan penekanan yang menyeluruh untuk menyediakan infrastruktur dan prasarana pada tahap yang terbaik di samping mempertingkatkan sistem pendidikan beretika tinggi untuk sekolah mubaligh di negeri ini.

Beliau menambah Jawatankuasa Eksekutif Sekolah Bantuan Kerajaan Mubaligh di bawah kawal selia UNIFOR telah ditubuhkan untuk membantu pihak pengurusan sekolah mubaligh untuk mengurus, memperbaiki dan menaik taraf keperluan prasarana semua sekolah mubaligh di Sarawak.

Selain denominasi Roman Katolik, Kerajaan Sarawak juga telah mengagihkan dana bantuan untuk 23 buah sekolah mubaligh denominasi Roman Katolik Bahagian Sibu berjumlah RM2.76 juta termasuk tujuh buah sekolah mubaligh denominasi Roman Katolik Bahagian Miri berjumlah RM840,000.

Manakala, katanya sekolah mubaligh denominasi Anglikan menerima peruntukan sebanyak RM6 juta untuk 50 buah sekolahnya di seluruh Sarawak.

Bagi denominasi Methodist pula, Penguang berkata Persidangan Tahunan Sarawak Iban (SIAC) menerima peruntukan berjumlah RM960,000 untuk lapan buah sekolahnya manakala Persidangan Tahunan Cina Sarawak (SCAC) pula menerima peruntukan sebanyak RM600,000.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak