Warga emas diperintah berkelakuan baik selama setahun

KUCHING: Seorang warga emas diperintahkan berkelakuan baik selama setahun dan bon jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melanggar sebuah kereta kompak hingga menyebabkan kerugian RM300.

Tertuduh Matnor Abang, 66, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melanggar sisi sebelah kiri kereta jenis kompak milik Sim Siau Chui,39, hingga menyebabkan kerugian RM300 di Jalan Ban Hock sekitar jam 7.40 pagi, 15 November lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 427 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, di hadapan sebuah kedai salon kecantikan di Jalan Ban Hock sebuah kenderaan pancuan empat roda milik tertuduh telah melanggar sisi tepi sebelah kiri kereta pengadu hingga menyebabkan rosak dan calar.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Pihak polis turut merampas kenderaan dan seutas anak kunci kereta yang digunakan pengadu dalam kejadian tersebut.

Hasil siasatan mengesahkan bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana telah melanggar sisi sebelah kiri kereta milik pengadu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak