Willie tidak bertanding pada PRN-12, beri sokongan kepada calon GPS

PADAWAN: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin hari ini mengumumkan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang akan datang.

Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa dirinya akan memberi sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding pada PRN-12 nanti.

Katanya, Sarawak perlu ditadbir oleh kerajaan yang stabil agar pembangunan dapat disampaikan kepada rakyat.

“Kita pernah mengalami ketidakstabilan politik di peringkat kerajaan Persekutuan kerana kerajaan dan Perdana Menteri bertukar tiga kali.

“Justeru, secara asasnya adalah perlu untuk memastikan kerajaan negeri ini stabil. Apabila situasi politik stabil, kita dapat membawa pembangunan kepada rakyat,” katanya pada sidang media sempena Program Jelajah Agrokomoditi: Jom Bisamah Industri Koko di Kampung Semedang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Willie berkata bahawa beliau juga tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan GPS kerana GPS adalah rakan politik yang baik dan selalu memperjuangkan kelangsungan hidup rakyat.

“Sesiapa sahaja yang mereka letakkan untuk menjadi calon untuk bertanding, saya akan memberikan sokongan penuh kepada mereka.

“Saya juga menyeru penyokong saya untuk memberi sokongan kepada calon GPS yang bertanding di Dun Serumbu, Mambong dan Tarat,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak