Wanita warga Indonesia dipenjara empat bulan, tiada dokumen perjalanan sah

KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Nelayana Yanisubuana,21, berasal dari Sambas Kalbar, Indonesia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (3) Akta yang sama, kerana berada di dalam negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah ketika ditemui berada di sebuah premis makanan di Taman BDC, Stampin, kira-kira jam 1.55 petang, 25 November lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam sebatan.

Selain itu, tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara empat bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 48 (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terlibat dalam aktiviti judi dalam talian.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kesalahan memasuki Malaysia bermula hari ini dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang selepas tamat hukuman.

Manakala hukuman penjara bagi kesalahan terlibat dengan aktiviti judi dalam talian bermula dari tarikh tangkapan pada 25 November lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak