133 pengawai dan anggota polis IPD Mukah turun mengundi

MUKAH: Seramai 133 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis (IPD) Mukah menunaikan tanggungjawab pada Hari Mengundi Awal di Dewan Serbaguna IPD Mukah, hari ini

Berdasarkan pemantauan Suara Sarawak dari jam 8 pagi hingga tengah hari tadi, cuaca yang agak cerah mengizinkan proses pengundian dan kehadiran pengundi berjalan lancar.

Muhamad Rizal Alias

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias, beliau berpuas hati dengan kehadiran yang menggalakan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan

“Kita akan pastikan semua pegawai dan angggota IPD Mukah yang mendaftar sebagai pengundi awal akan hadir pada hari ini untuk menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pagi tadi.

Bagi kawasan Mukah, ujarnya terdapat tiga pusat undi awal dibuka iaitu Dewan Serbaguna IPD Mukah bagi Dun Tellian, aras bawah bangunan Pusat Pentadbiran Baru Mukah bagi Dun Balingian dan Rumah Perkep Balai Polis Selangau untuk Dun Tamin.

“Masa mengundi yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula jam 8 pagi dan tamat pada jam 5.00 petang,” jelasnya.

Menurut pengundi pertama iaitu Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Mukah Inspektor Ebini Mohamad, ini merupakan kali kelima beliau mengundi awal.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi untuk turun awal pada hari mengundi 18 Disember nanti, ekoran cuaca yang tidak menentu.

Keadaan semasa proses pengundian awal di Dewan Serbaguna IPD Mukah pagi tadi.

Suara Sarawak