16 pemain sertai Kejohanan Boling Padang Terbuka (Fours) Kuala Lumpur 2021

KUCHING: Seramai 16 orang pemain skuad boling padang Sarawak akan berentap dalam Kejohanan Boling Padang Terbuka (Fours) Kuala Lumpur 2021.

Ketua jurulatih Mohd. Fairus Abang Deni memberitahu, 11 orang daripada jumlah tersebut adalah pemain skuad elit, manakala lima orang lagi merupakan pemain simpanan sedia ada.

“Saya melihat kejohanan ini sebagai landasan terbaik untuk menilai kemampuan para pemain yang akan terlibat dengan temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

“Di samping peluang untuk mereka memperbaiki kelemahan masing-masing,” ujar Mohd. Fairus kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, kejohanan yang akan berlangsung pada 29 Disember hingga 2 Januari 2022 itu turut disertai ramai lagi pemain dari negeri lain terutama yang akan terlibat dengan temasya Sukma tahun depan.

“Inilah masa terbajk buat mereka melihat keupayaan sebenar,” ujarnya.

Menurut Mohd. Fairus, tiada sebarang sasaran diletakkan kepada pemain sepanjang penampilan mereka dalam kejohanan itu kelak.

“Sekiranya ada antara pemain yang berjaya memperolehi pingat, ia satu bonus buat mereka,” jelasnya.

Suara Sarawak