1,819 Rumah Spektra Permata dirancang dibina

SIBU: Sebanyak 1,819 unit Rumah Spektra Permata (RSP) dirancang dibina di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, program itu dilaksanakan di bawah tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025).

“Setakat hari ini, 892 unit RSP telah siap iaitu RSP Lundu, RSP Sematan, RSP Kemuyang, Darul Hana, Bunga Rampai, Igan, Tian dan Kpg Dato,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Projek Perumahan Spektra Permata Kemuyang, di sini hari ini.

Beliau menambah dalam tempoh RMK-11 (2015-2020), sebanyak 2,470 unit RSP dibina di seluruh Sarawak, melibatkan kos RM259 juta.

RSP adalah program perumahan di bawah Kerajaan Sarawak untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) untuk memiliki rumah kediaman.

Abang Johari (dua kanan) bersama yang lain bergambar di Rumah Spektra Permata Kemuyang, Sibu.

Program ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar melalui Skim Penempatan Semula (SPS) Jabatan Tanah dan Survei dan Skim Perluasan Kampung (SPK).

Sementara mengulas mengenai RSP Kemuyang, Abang Johari berkata ia melibatkan keluarga tambahan mangsa kebakaran Kg. Dato, Kg. Hilir, Kg. Nyabor dan Kg. Bandong.

“Sebanyak 813 lot diperuntukkan untuk projek pembangunan ini, dengan 110 unit dibina oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak,” katanya.

Beliau berkata jenis rumah yang dibina ialah berkembar satu tingkat dan bertiang, dengan setiap unit dijual pada harga RM90,000 hingga RM160,000.

Hadir sama Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Mohamad Asman Ahmad.

Abang Johari (baris belakang, tiga kanan) bersama tetamu kehormat lain merakam gambar dengan para penerima Rumah Spektra Permata Kemuyang, Sibu hari ini.

Suara Sarawak