23 kru bot nelayan asing Vietnam ditahan di Miri, nilai rampasan RM1.2 juta

MIRI: Sebuah bot nelayan asing Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri pada jarak lebih kurang 37 batu nautika Barat Laut Miri kira-kira jam 7.50 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, aset APMM Kapal Maritim (KM) Pekan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada jarak enam batu nautika sekitar jam 6.20 petang.

“Setelah didekati, bot tersebut dipercayai milik nelayan asing Vietnam berdasarkan struktur fizikal dan nombor pendaftaran.

“Semasa dirapati, bot tersebut cuba melarikan diri namun berjaya dipintas dan ditahan oleh penguat kuasa.

“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya, nilai rampasan adalah sebanyak RM1.2 juta merangkumi hasil tangkapan ikan campuran anggaran 5,000 kilogram, peralatan menangkap ikan, serta bekalan diesel lebih kurang 2,000 liter.

Mengulas lanjut, katanya seramai 23 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur lingkungan 15 hingga 55 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

Katanya, bot dan kesemua kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala anak kapal boleh didenda sehingga RM600,000 setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Suara Sarawak