32 peratus sudah mengundi setakat 11 pagi

KUCHING: Sejumlah 32 peratus daripada 1,213,769 pengundi biasa sudah menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 setakat jam 11 pagi tadi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pusat pengundian dibuka bermula jam 7.30 pagi dan akan ditutup pada jam 5 petang.

Pada pilihan raya kali ini, seramai 1,252,014 pengundi berdaftar, layak mengundi dan daripada jumlah itu, seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 orang sudah mengundi secara pos.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 pertarungan lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PAS (satu).

Selain itu, seramai 30 calon Bebas turut bertanding.

Suara Sarawak