327 individu, 19 premis dikompaun tidak patuh SOP

KUCHING: Pasukan Op Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching mengeluarkan sebanyak 346 kompaun hasil operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bermula 1 hingga 30 November lalu.

PANTAU…Pasukan Op Pematuhan IPD Kuching melakukan pemeriksaan di kawasan tumpuan orang ramai di bandar raya Kuching.

Operasi terbabit tertumpu di kawasan premis, tempat awam dan kawasan pelancongan di sekitar bandar raya Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, seramai 327 individu manakala 19 lagi merupakan pemilik premis perniagaan telah dikompaun.

“327 individu masing-masing dikompaun RM1,500 setiap seorang atas kesalahan tiada penjarakan fizikal, tidak mengimbas aplikasi My Sejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

“Manakala setiap pemilik premis dikompaun RM10,000 atas kesalahan pemilik premis gagal memastikan pelanggan mendaftar masuk menggunakan aplikasi My Sejahtera atau mencatit di buku pendaftaran.

“Selain itu pemilik perniagaan turut gagal memaparkan jumlah maksima pelanggan dibenarkam masuk ke dalam premis, gagal menyediakan buku daftar, pengimbas My Sejahtera dan sanitasi tangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kompaun terbabit dikeluarkan di bawah Peraturan 17(1) dan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

Beliau dalam pada itu menegaskan agar masyarakat terus mematuhi SOP bagi kebaikan bersama.

Suara Sarawak