35 PPS diwujudkan bagi hadapi banjir di Lundu

LUNDU: Sejumlah 35 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diwujudkan di daerah ini bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin sekiranya berlaku bencana banjir.

Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Amir Omar berkata, persediaan rapi oleh pihak yang berkaitan merupakan langkah berjaga-jaga untuk bersiap siaga apabila berdepan dengan segala kemungkinan melibatkan bencana banjir.

“PPS yang disediakan mampu memuatkan sekurang-kurangnya 50 orang bergantung kepada saiz dewan yang digunakan untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan.

“Pelbagai kelengkapan turut disediakan kepada mangsa banjir di pusat tersebut, di samping memberikan keselesaan kepada mereka untuk berlindung dari bencana,” katanya kepada sidang media selepas lawatan kerja ke PPS Kampung Selampit, di Lundu, hari ini.

Antara kelengkapan yang disediakan adalah khemah, tilam nipis, tilam lipat, tikar, bantal, selimut, tuala, kit kebersihan, kain batik serta kain pelikat, kit ‘refreshment’, tong sampah serta lampin pakai buang pelbagai saiz untuk keluarga yang memerlukan.

Untuk rekod, daripada 35 buah PPS, sembilan pusat yang terletak di Zon Lundu, Zon Sematan (17), Zon Selampit (2), Zon Stungkor (3), Zon Pandan (1) dan Zon Biawak (3).

Lima buah khemah yang disediakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Kampung Selampit sebagai persediaan awal berdepan bencana banjir

Suara Sarawak