74 peratus pemilik rumah tidak dilindungi insurans banjir

KUALA LUMPUR: Hasil kaji selidik Impak Pandemik Terhadap Perlindungan Zurich Malaysia mendedahkan kira-kira 74 peratus pemilik rumah tidak mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir.

Kaji selidik itu dijalankan pada September 2021 membabitkan 1,201 responden itu turut mendapati, 59 peratus pemilik rumah juga tidak dilindungi untuk kerosakan akibat kebakaran.

Menurut Zurich Malaysia, memandangkan negara ini mengalami kitaran musim tengkujuh tahunan, amat mengejutkan untuk mengetahui bahawa dua pertiga (74 peratus) pemilik rumah tidak mempunyai perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menganggarkan sekitar 4.8 juta orang tinggal di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

“Semasa monsun timur laut 2020 hingga 2021, banjir menyebabkan 42,947 orang kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan 11,973 keluarga.

“Malaysia sebagai negara yang menempatkan hampir 5.8 juta hartanah kediaman, hasil kaji selidik ini semakin membimbangkan setelah mendapati secara keseluruhannya hanya satu daripada dua rumah dilindungi oleh insurans atau takaful rumah untuk potensi kerosakan.

“Tambahan pula, 43 peratus pemilik rumah tidak menyedari bahawa kandungan rumah tidak semestinya dilindungi bawah insurans atau takaful rumah. Kandungan rumah termasuk perabot seperti meja dan kerusi, peralatan, komputer dan peranti mudah alih,” katanya dalam satu kenyataan.

Satu daripada tiga pemilik rumah (33 peratus) yang diinsuranskan juga tidak mempunyai perlindungan kandungan rumah. Bagi mereka yang mempunyai perlindungan, 13 peratus membeli pelan berasingan khusus untuk melindungi kandungan rumah mereka.

Jelas Zurich Malaysia, angka itu mungkin lebih tinggi kerana 25 peratus pemilik rumah yang diinsuranskan tidak pasti akan perlindungan insurans atau takaful rumah yang sedia ada.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak