Abang Johari: Rombak prosedur perkhidmatan awam yang lapuk

KUCHING: Perkhidmatan awam Sarawak digesa untuk merombak prosedur semasa supaya penambahbaikan dapat dibuat bagi meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia berikutan ada sesetengah prosedur semasa sudah lapuk sehingga menyebabkan pelaksanaan projek sangat perlahan dan tergendala.

“Rakyat mahu projek-projek yang kita umum akan terus berjalan, namun apa yang berlaku sekarang saya lihat banyak yang tergendala dari bawah.

“Justeru, saya berharap pihak perkhidmatan awam melihat perkara ini dengan serius. Jika perlu dirombak, maka rombaklah kerana ada prosedur yang sudah lapuk dan saya sudah menyuruh Setiausaha Kerajaan Negeri meneliti perkara ini,” katanya

Abang Johari berkata demikian pada hari pertama beliau kembali bertugas sebagai Ketua Menteri Sarawak, di Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Beliau juga berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, sistem yang ‘stail lama’ akan dirombak supaya perkhidmatan awam mempunyai prosedur yang lebih berkesan dan mantap.

“Malah kita boleh mengikut seperti prosedur kewangan yang lebih praktikal dengan kemudahan teknologi.

“Jadi dengan adanya polisi serta prosedur yang lebih baik serta efisien, perkhidmatan awam akan lebih cepat,” tegasnya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Amir Omar.

Suara Sarawak