Abdullah Saidol dikekalkan bertanding di Dun Semop

DARO: Penyandang Dun Semop, Datuk Abdullah Saidol dikekalkan untuk bertanding mempertahankan kerusi yang disandangnya selama sepenggal itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang akan diadakan pada 18 Disember ini.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Pulau Bruit, di sini hari ini.

Malah, beliau turut membayangkan pengekalan penyandang Dun Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh, Dun Daro Safiee Ahmad termasuk Dun Repok Huang Tiong Sii.

“Abdullah akan terus menjadi calon di kawasan ini (Dun Semop) untuk bersama-sama membangunkan apa yang telah kita tetapkan.

“Jadi inilah pasukan kita…kita ada Len Talif, Safiee dan Huang. Jadi kita dalam satu pasukan dan akan terus melaksanakan perancangan demi kepentingan bersama,” katanya.

Dalam PRN-11 pada 2016, Abdullah menang dengan majoriti 4,412 undi menewaskan calon Amanah, Mohamad Fadillah Sabali yang hanya memperoleh 878 undi.

Manakala Len, menang dengan majoriti 5,586 undi menewaskan calon Amanah, Sopian Julaihi yang memperoleh 649 undi dan calon bebas, Asbor Abdullah yang hanya mendapat 153 undi.

Safiee pula menang dengan majoriti 4,432 undi menewaskan calon Amanah, Ibrahim Bayau yang mendapat 569 undi.

Abdulla, Len dan Safiee adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang juga diterajui oleh Abang Johari sebagai Presiden.

Sementara, Huang daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang dengan majoriti 943 undi selepas memperoleh 7,446 undi, menewaskan calon DAP, Yong Siew Wei (6,503 undi) dan calon bebas, Wong Chin King (381 undi).

Sementara sempena pilihan raya ini, Abang Johari yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap agar rakyat terus kukuh bersama kepimpinan GPS.

Katanya pemerintahan GPS mempunyai hala tuju dan kepimpinan yang beramanah serta dapat mengubah keadaan negeri.

“Kepimpinan bertukar ganti, namun kita dalam satu pasukan yang kuat untuk mempertahankan dan membangunkan Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

tamat

Suara Sarawak