Acara yang dipertandingkan dalam Sukma KL 2022 belum diputuskan

KUCHING: Acara rasmi yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022 belum dimuktamadkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang makluman mengenai perkara itu.

“Kita belum ada mesyuarat selanjutnya untuk mengesahkan perkara itu,” kata Dr Ong kepada Arena Suara Sarawak.

Bagaimanapun, beliau merasakan segalanya akan dapat diketahui pada hujung bulan ini atau minggu pertama Januari 2022.

Menurut Dr Ong, walaupun belum ada kesahihan acara rasmi, namun atlet yang terpilih mewakili Sarawak sudah begitu lama mempersiapkan diri dengan beberapa siri latihan.

“Persiapan atlet kita berjalan lancar dan latihan dijalankan mengikut jadual masing-masing,” tambahnya.

Ia sekali gus memperlihatkan kontinjen Sarawak kini sudah bersedia untuk turun mengharungi temasya Sukma Kuala Lumpur 2022.

Kontinjen Sarawak turun dengan misi merampas kejuaraan yang telah lama terlepas dari genggaman.

Kali terakhir Sarawak juara ialah pada 1994. Sebelum itu Sarawak juga pernah juara pada 1990 dan 1992.

Suara Sarawak