Ali Biju nafi serah kerusi Krian, masih pertimbang untuk bertanding

KUCHING: Penyandang kerusi Dun Krian, Datuk Ali Biju menafikan beliau menyerahkan kerusinya kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah Adun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberi bayangan masih mempertimbangkan untuk terus bertanding di kerusi tersebut bagi menjadi wakil rakyat untuk penggal ketiga.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya selepas calon GPS dari Parti Demokratik Progresif (PDP), Friday Belik mengatakan bahawa Ali telah bersetuju untuk memberi laluan kepadanya pada PRN-12 dengan menyerahkan kerusi Krian.

“Saya tidak pernah bersetuju untuk menyerahkan kerusi saya kepada PDP seperti yang telah dinyatakan Friday.

“Sebarang keputusan mengenai saya untuk terus mempertahankan Krian sebagai penyandang akan dibincangkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Tegasnya Ali, beliau telah menangi kerus Krian sebanyak dua kali dan berkhidmat sehingga kini sebahagian besar pengundinya menyatakan masih memerlukan beliau terus berkhidmat serta mempertahankan kawasan Krian.

Untuk rekod Muhyiddin sebelum ini mengumumkan Bersatu tidak akan meletakkan sebarang calon dalam PRN-12 Sarawak kali ini.

Friday pula sudah menerima surat watikah menjadi calon pada Jumaat dan ketika ditemui media berkata peluang menang untuknya cerah lebih-lebih lagi dengan Datuk Ali BIju sedia mengundur diri.

Selain menjadi Adun, Ali juga merupakan Ahli Parlimen Saratok dan Timbalan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli.

Suara Sarawak