Ali Biju tarik diri sebagai calon DUN Krian

KUCHING:  Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri sebagai calon di DUN Krian dan akan memberi dukungan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

Beliau berkata keputusannya itu bagi memelihara muafakat sekaligus meneruskan dan memperkukuhkan hubungan utuh antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

“Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN dan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS.

“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS.

“Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Saratok yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu menjelaskan keputusannya menawarkan diri sebagai calon Bebas di DUN Krian dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) dibuat setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi.

Katanya sebagai wakil rakyat yang telah dipilih sejak 2011, dukungan dan sokongan yang padu itu telah memperkukuh tekadnya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

Walau bagaimanapun, beliau berkata menginsafi hakikat bahawa keputusan itu akan menjejaskan hubungan baik antara BERSATU dan GPS.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS.

Justeru dengan penarikan diri Ali itu, Dun Krian yang mempunyai seramai 13,074 pengundi akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Friday dengan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan.

Suara Sarawak