Azizul calon yang tepat untuk Tanjung Datu

SEMATAN: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan mempunyai potensi sebagai pemimpin yang baik untuk mengetuai GPS pada masa akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Azizul diberikan kepercayaan untuk bertanding di kawasan tersebut kerana menepati semua kriteria yang diperlukan sebagai seorang wakil rakyat yang berkaliber.

“Kita meletakkan calon baharu yang mempunyai visi untuk memajukan kawasan Tanjung Datu, kaya dengan ilmu dari segi pendidikan dan berbakat selain daripada sekadar pandai bercakap.

“Ini kerana ia sentiasa menjadi agenda kerajaan adalah untuk menampilkan pelapis yang boleh membawa Sarawak untuk terus maju ke hadapan pada masa akan datang,” katanya.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri itu berkata demikian selepas menyempurnakan Program Kesukarelawanan, Penghijauan Malaysia di Pantai Telok Melano, Sematan, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya Azizul diharap dapat membawa pembangunan terhadap Dun Tanjung Datu ke arah yang lebih maju dengan rancangan dan visi yang difikirkan oleh beliau.

Suara Sarawak