Banjir di Kampung Suba Bandar dan Kampung Grogo diatasi segera

BAU: Masalah banjir akibat pembinaan projek Taman Perindustrian Ringan Bau di sini, yang menjejaskan beberapa buah rumah dan turut memusnahkan hasil tanaman penduduk Kampung Suba Bandar dan Kampung Grogo akan selesai dalam masa terdekat.

Calon Dun Tasik Biru (GPS), Datuk Henry Harry Jinep berkata ia susulan tindakan segera yang diambil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred), konsultan dan kontraktor yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek tersebut.

“Pihak Mintred, konsultan dan kontraktor komited untuk menyelesaikan masalah ini dan mereka telah bersama-sama turun ke lapangan bagi melihat isu ini.

“Saya gembira kerana mereka secara proaktif mempunyai cara-cara bagi menyelesaikan masalah ini supaya orang kampung yang berdekatan tidak terjejas akibat banjir lagi,” katanya ketika ditemubual selepas meninjau tapak pembinaan Taman Perindustrian Ringan Bau, di sini, hari ini.

Beliau menambah usaha itu menunjukkan kerajaan Sarawak sangat prihatin dengan permasalahan yang dihadapi orang kampung khususnya di kawasan yang terjejas ini (Kampung Suba Bandar dan Kampung Grogo) supaya banjir di musim tengkujuh tidak menjadi mimpi ngeri buat mereka lagi.

Terdahulu, Henry berkata beliau telah menerima aduan daripada penduduk kedua-dua kampung terbabit bahawa rumah mereka telah dinaiki air dan tanaman turut musnah disebabkan oleh banjir yang berpunca daripada pembinaan projek Taman Perindustrian Ringan Bau.

Katanya, keadaan itu membimbangkan penduduk lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh ketika ini.

“Saya telah menerima aduan daripada penduduk kampung yang berdekatan mengenai pembinaan pembentung yang menyebabkan paras air sedikit tinggi daripada paras asalnya hingga menyebabkan banjir di kediaman mereka.

“Saya tidak menunggu lama dan segera menghubungi pihak Mintred, yang kemudian segera bertindak dan bersama-sama saya turun padang pada hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, Henry berkata telah membantu menyelesaikan masalah yang dialami oleh penduduk terbabit dan berharap ia akan diselesaikan dengan segera.

“Mereka bertindak hari ini juga untuk mengorek parit dengan lebih dalam lagi agar dapat menampung jumlah air yang banyak,” ujarnya.

Suara Sarawak