Bantuan Khas Covid-19 terima pada 20 Disember

KUCHING: Pembayaran Fasa 3 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sebanyak RM300 akan dibuat pada 20 Disember melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, dengan pembayaran itu, lengkaplah nilai bantuan di bawah BKC berjumlah RM4.6 bilion yang menzahirkan komitmen kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang disediakan ini menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri menambah, bayaran BKC akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank bagi penerima yang mempunyai akaun bank.

Bayaran untuk penerima yang tidak mempunyai akaun bank akan dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan bank berkenaan akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

Pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BKC telah diselesaikan pada September dan November lepas dengan peruntukan RM3.4 bilion untuk hampir 10 juta penerima.

Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, https://bkc.hasil.gov.my selain bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk kriteria penerima dan nilai bantuan yang diterima.

Suara Sarawak