Bersatu Sarawak: Penarikan diri Ali Biju wajar dijadikan contoh

KUCHING: Kepimpinan Bersatu Sarawak berbesar hati dengan keputusan Datuk Ali Biju yang menarik diri daripada terus bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dun Krian pada PRN-12.

Pengerusinya Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, walaupun keputusan tersebut agak sukar bagi Ali, tetapi ia dipandang tinggi oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu Sarawak yang amat menghargai pengorbanan itu.

“Keputusan yang beliau ambil ini adalah selaras dengan keputusan Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu yang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini demi kestabilan politik dan semangat setiakawan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Tindakan beliau ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS,” katanya.

Tambahnya, tindakan Ali wajar dijadikan contoh dan tauladan oleh semua ahli politik kerana keberanian itu adalah demi kestabilan politik dan perjuangan yang lebih besar untuk rakyat Sarawak.

Dengan keputusan itu, katanya Bersatu Sarawak kekal teguh dan tidak berbelah bagi GPS dalam memastikan kemenangan besar pada PRN-12.

Terdahulu, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu dalam kenyataan berkata beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding pada PRN-12 bagi memperkukuhkan hubungan yang utuh antara PN dan GPS.

Ali turut menyeru kepada seluruh pengundi di DUN untuk memberi dukungan padu kepada calon-calon GPS.

Sebelum ini, Ali mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu, berdepan saingan empat penjuru iaitu Musa Dinggat (PSB), Danny Kuan (PBK) dan Friday (GPS).

Bagaimanapun, tindakan Ali itu mengundang kekecawaan Abang Johari, yang disifatkan sebagai melanggar perjanjian antara Bersatu dan GPS.

Suara Sarawak