Biasiswa UTS untuk anak Sarawak

KUCHING: Belajar percuma melalui biasiswa yang disediakan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) khas untuk anak Sarawak, kata Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.

Katanya, biasiswa itu memberi peluang kepada pelajar negeri ini meliputi keseluruhan yuran pengajian sebanyak RM10,000 setiap pelajar.

“Ia akan diberi pada sesi pengambilan Februari 2022 termasuk beberapa insentif untuk semua program peringkat ijazah seperti diskaun 50 peratus bagi yuran kemasukan daripada RM1,000 kepada RM500,” katanya.

Dr Khairuddin menjelaskan, berdasarkan unjuran pengurangan yuran pendaftaran itu untuk lima tahun ia menunjukkan penjimatan sebanyak RM2 juta bagi pelajar, setahun.

“Kemudahan lain juga khas untuk anak Sarawak, UTS memperkenalkan skim biasiswa 50 peratus yuran pengajian untuk semua program prasiswazah dan pascasiswazah.

“Berdasarkan kepada unjuran lima tahun, ia dijangka menyumbang kepada RM17.2 hingga RM27 juta setahun dari UTS,” katanya.

Datuk Dr Khairuddin berkata, insentif itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 10 November lalu.

Tambahnya, ini termasuk Skim Bursari UTS untuk kumpulan B40 hingga M40 bagi menampung 100 anak bumiputera dan 100 anak bukan bumiputera setiap tahun.

“Skim khas untuk semua anak Sarawak ini memberi peluang kepada anak-anak daripada keluarga mampu untuk membantu membayar 80 peratus yuran pengajian setahun,” ujarnya.

“Ini kerana sebagai sebuah universiti awam negeri yang dimiliki oleh Kerajaan Sarawak, kita mahu semua anak Malaysia tidak kira latar belakang berpeluang untuk melanjutkan pengajian mereka.

“Dalam hal ini, UTS merupakan pusat pengajian awam negeri yang wajar menjadi pilihan utama ibu bapa menghantar anak kerana kita memberi pendidikan mampu milik kepada semua,” katanya.

Insentif terakhir ditawarkan oleh pihak universiti ialah sokongan kewangan dari Yayasan Sarawak dalam bentuk pinjaman pendidikan kewangan untuk membayar baki yuran pengajian serta kos hidup semasa melanjutkan pengajian di UTS.

“Pengenalan bantuan biasiswa dan insentif kewangan akan menyediakan lebih banyak peluang kepada anak Sarawak daripada semua peringkat untuk melanjutkan pengajian mereka di UTS.

“Dengan kemas kini yuran pengajian ini, kita yakin dapat mencapai sasaran kemasukan pelajar maksimum 4,000 pelajar menjelang 2024 berbanding sekarang,” katanya.

Suara Sarawak