Chong: Undi parti pembangkang yang kuat

KUCHING: Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12), Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sekali lagi mengulangi gesaan agar pengundi menyokong parti pembangkang yang kuat bagi mengukuhkan kehadiran pembangkang di DUN.

Menurutnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, ia penting supaya semak dan imbang oleh pembangkang dapat dilaksanakan dengan baik serta menjamin hak rakyat negeri ini.

“Kami faham ramai yang kecewa dengan pemerintahan 22 bulan kerajaan PH, tetapi kita meminta rakyat Sarawak mengundi DAP supaya akan ada pembangkang yang kuat di DUN.

“Memandangkan keadaan banyak parti pembangkang bertanding pada pilihan raya kali ini, terdapat kemungkinan besar undi pecah, justeru undilah parti yang kukuh dan stabil,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, di sini, hari ini.

Chong berkata rakyat Sarawak kini berada di peringkat kedua perjuangan untuk memulihkan hak-hak yang terhakis selepas pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 diluluskan Dewan Rakyat.

“Justeru pilihan raya kali ini penting untuk kita meneruskan perjuangan menuntut hak Sarawak yang terhakis selama ini,” tegasnya.

Suara Sarawak