Curi motosikal, lelaki dipenjara enam bulan

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki harta curi iaitu sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Idzuan Sukrie, 24, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 4 Oktober lepas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun keseksaan kerana menyimpan harta curi sebuah motosikal berkuasa tinggi milik Mohamad Yussof Rahmad, 55, di sebuah rumah di Kampung Segedup, Batu Kawa, sekitar jam 10.30 pagi, 4 Oktober lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada 3 Oktober lalu pengadu melaporkan kehilangan motosikal milik ayahnya yang siap dibaiki di sebuah kedai motosikal selepas dimaklumkan oleh pemilik kedai berkenaan.

Selain itu, pengadu yakin kehilangan tersebut kerana kecuaian pemilik kedai yang meninggalkan kunci motosikal di atas motornya.

Pengadu yang mengalami kerugian lebih kurang RM18,000 telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak