DAP sokong pindaan RUU Perlembagaan demi kepentingan Sarawak

KUCHING: Keputusan sebulat suara untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah bukti komitmen Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk memperkasakan Sarawak.

Calon DAP kerusi Batu Kawah Dr Kelviin Yii Lee Wuen berkata, sokongan terhadap pindaan MA63 diambil dengan mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

“Ini merupakan langkah pertama untuk Sarawak memulihkan apa yang menjadi hak kita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Kuching di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, satu pelan tindakan dan garis masa komprehensif ke arah penurunan kuasa perlu disediakan.

Jelasnya, walaupun terdapat peruntukan Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan untuk “Pengagihan Kuasa Eksekutif”, namun pengagihan itu semata-mata eksekutif, bukan perundangan untuk memutuskan hala tuju dasar sebenar Sarawak.

“Perkara ini bergantung kepada budi bicara Kerajaan Persekutuan sama ada memberi atau tidak, dan juga mempunyai setiap kuasa untuk mengambil balik. Itu bukan autonomi sebenar,” katanya.

Justeru beliau menggesa agar para Menteri GPS di Parlimen termasuk pemimpin negeri terus komited dalam merangka Pelan Tindakan Penurunan Kuasa untuk Sarawak.

Suara Sarawak