Dr Sim kesal DAP mahu batalkan projek ART

KUCHING: Datuk Seri Dr Sim Kui Hian kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Chong Chieng Jen untuk membatalkan Projek Transit Autonomous Rapid Transit (ART) sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRN-12 kelak.

Presiden Parti Rakyat Bersatu (SUPP) Sarawak itu menegaskan bahawa Ahli Parlimen Stampin itu tidak menyedari kesesakan lalu lintas di Bandar Raya Kuching semakin meningkat dan menjadi lebih teruk dari hari ke hari.

“Dia (Chieng Jen) mungkin tidak tahu jumlah pendaftaran kenderaan di bandar raya ini semakin meningkat dengan kadar tiga hingga lapan peratus setiap tahun.

“Berdasarkan perkembangan semasa, trend peningkatan penggunaan kenderaan di bandar raya ini meningkat sebanyak 41 peratus daripada 317,400 kenderaan pada 2015 kepada 449, 200 menjelang tahun 2030,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau juga mempersoalkan negeri di bawah Kerajaan DAP di Pulau Pinang kini sedang berusaha keras untuk memiliki LRT dengan kos RM8 billion walaupun penduduknya hanya 270,000 di Georgetown.

Beliau terkilan dengan kenyataan Chieng Jen seolah-olah Kuching tidak layak mendapat kemudahan terbabit walaupun penduduknya lebih padat daripada Bandar Raya Georgetown.

“Sistem ART jauh lebih murah dan moden untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan Sarawak harus bersedia dengan pembangunan terbabit untuk masa depan.

“Oleh sebab itu, Saya menyeru pengundi di Kuching dan Sarawak untuk mengundi GPS, dan menolak DAP dan PH jika anda rasa Sarawak dari segi layak pembangunan, kemudahan moden dan mengurangkan trafik di bandar yang sesak,” katanya lagi.

Suara Sarawak