Dua penganggur dicekup, salah guna dadah

BAU: Dua orang penganggur dicekup polis di kawasan Tasik Biru, di sini semalam, disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 35 dan 36 tahun ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, suspek yang berada dalam keadaan yang mencurigakan telah diperiksa tubuh badan dan tidak menjumpai sebarang bahan dadah yang berbahaya.

“Kemudian, kedua-dua suspek mengaku ada mengambil dadah.

“Suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau untuk ujian saringan awal air kencing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing didapati kedua-duanya disahkan positif dadah berbahaya sementara tiada rekod kesalahan lampau membabitkan kedua-dua suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak