Duke Janteng mahu bertanding di Dun Kemena

BINTULU: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bintulu, Duke Janteng berharap pucuk kepimpinan tertinggi parti itu memberi lampu hijau kepadanya untuk bertanding di Dun Kemena.

Ia meskipun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memutuskan untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Katanya ia berikutan desakan serta kehendak ahli parti dan rakyat di Dun Kemena yang mahukan beliau bertanding atas tiket Bersatu pada pilihan raya yang akan diadakan pada 18 Disember ini.

“Kita bertanding atas tiket Bersatu sekiranya diberi peluang namun kita akan tetap menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat pentadbiran,”katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Perikanan Nasional (PN) Parlimen Bintulu, Pejabat Bersatu di Jalan Sibiew, hari ini.

Ketua Penerangan Bersatu Sarawak itu juga yakin parti itu mempunyai peluang yang cerah memenangi kerusi Dun Kemena berdasarkan bilangan keahlian parti antara 15,000 hingga 16,000 orang.

Beliau, bagaimanapun berkata keputusan (bertanding) masih belum muktamad.

Suara Sarawak