Gedong bakal jadi bandar satelit

GEDONG: Gedong bakal menjadi sebuah bandar satelit di Samarahan, melalui pembangunan yang dirancang bagi Daerah baharu itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia khususnya menerusi pembinaan jalan penghubung dan jambatan yang dirancang bagi mendekatkan jarak antara Gedong dengan Samarahan serta Kuching.

“Bermakna macam Kuching dan Petrajaya, kita akan ada bandar satelit baru yang akan tercapai tidak lama lagi di Gedong.

“Maka Gedong akan menjadi sebuah kawasan pinggir bandar yang sudah tentu meningkatkan cara hidup masyarakat di situ dan tanah kawasan kampung, rumah panjang juga dapat menikmati kemajuan dari segi pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Gedong Sebagai Daerah di Dewan Terbuka Gedong, di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan bekas ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.

Abang Johari menambah impak daripada pembangunan di Gedong itu juga akan mengubah kawasan di sekitarnya iaitu Simunjan, Sadong Jaya dan Asajaya menjadi kawasan bersepadu, sekaligus mengubah corak kehidupan masyarakat di kawasan luar bandar berkenaan.

Suara Sarawak