Hari Mengundi PRN Sarawak: Tidak dibenarkan bawa bahan berunsur kempen calon

KUCHING: Semua pengundi, calon serta petugas yang memasuki pusat mengundi esok hari adalah tidak dibenarkan memakai baju, topi serta pelitup separuh muka yang menjurus kepada sokongan kepada mana-mana fahaman politik.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, ia juga termasuk mana-mana bahan kempen yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding serta sebarang slogan kempen.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, SPR berharap semua pihak akan mematuhi undang-undang, peraturan dan etika yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

Suara Sarawak