Jambatan Gantung Satok dibuka selama 3 hari sempena Tahun Baru 2022

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan Jambatan Gantung Satok dibuka kepada orang awam selama tiga hari bermula 31 Disember hingga 2 Januari 2022.

Menurut Ir Andrew Wang Hock Lai, keputusan itu dibuat selepas mendapat permintaan daripada orang ramai.

“Masa pembukaan jambatan tersebut adalah dari jam 6 pagi sehingga jam 12 tengah malam selama tiga hari itu.

“Ia akan ditutup sepenuhnya pada 3 Januari 2022 untuk menyambung kerja-kerja penambahbaikan lampu-lampu bagi fasa kedua,” katanya.

Tambah beliau, bilangan maksima orang ramai yang berada di atas jambatan adalah dihadkan sebanyak 100 orang sahaja.

Sehubungan itu, orang awam diingatkan agar sentiasa berhati-hati semasa melalui jambatan tersebut dan perlu mematuhi arahan pegawai keselamatan.

Penggunaan jambatan tersebut adalah di atas tanggungan risiko pengguna masing-masing.

Suara Sarawak