Jangan gadai masa depan

KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan tidak menggadaikan masa depan dengan memilih parti yang gagal memenuhi kehendak rakyat Sarawak dan tidak mampu menunaikan janji-janji yang dibuat, malah menipu rakyat Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata apatah lagi memilih parti yang bersekongkol dengan mereka yang pernah gagal memimpin negara dan ini harus diambilkan sebagai iktibar.

“Sebagai rakyat Sarawak, adalah menjadi kewajipan kita untuk memilih kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran pada masa kini dan akan datang.

“Ini adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan Sarawak yang kita sayangi,” katanya ketika melancarkan Manifesto GPS PRN-12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata GPS telah meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan Sarawak.

Katanya usaha membangunkan Sarawak hanya akan dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan Sarawak melalui Pilihan Raya Negeri Ke-12 ini.

“Sebagai Pengerusi GPS, saya dan pasukan yang terdiri daripada kepimpinan pelbagai kaum di Sarawak akan terus komited untuk memastikan dasar-dasar yang kita laksanakan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“GPS akan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak yang tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan,” katanya.

Beliau menambah kepimpinan GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian yang cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

“Masa hadapan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak. Kita membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri dan hanya kita yang dapat memastikan kemakmuran dinikmati oleh orang Sarawak.

“GPS perlukan sokongan padu rakyat Sarawak. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang stabil, makmur dan gemilang, demi menjadikan Sarawak Maju Menjelang 2030,” katanya.

Suara Sarawak