JPBN hargai pengiktirafan Sarawak beralih ke Fasa empat PPN

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menyambut baik pengiktirafan Sarawak beralih ke Fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut JPBN dalam kenyataannya hari ini, Kerajaan Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana yakin dengan usaha yang diambil selama ini dengan memberi pengiktirafan bahawa Sarawak boleh beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Terdahulu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan bahawa Sarawak akan beralih Fasa Empat PPN berkuat kuasa 3 Januari 2022 ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerajaan berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bukan sahaja Sarawak, malah negeri Kelantan juga akan beralih dari Fasa Tiga ke Fasa Empat.

“Dengan peralihan fasa bagi kedua-dua negeri tersebut, ini bermakna kesemua negeri di Malaysia telah beralih ke Fasa 4 PPN,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin memaklumkan bahawa SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Empat PPN adalah sama dengan sebelum ini.

Bagi mendapatkan keterangan SOP terkini, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi MKN di www.mkn.gov.my.

Suara Sarawak