JPBN perlu lebih proaktif, kaji semula polisi EnterSarawak

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) perlu lebih proaktif dalam membuat keputusan berikutan kes Covid-19 yang dilihat sudah semakin menurun di Sarawak.

Adun Asajaya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat, JPBN perlu lebih terbuka dan menyemak polisi di bawah aplikasi EnterSarawak kerana ia menjejaskan industri pelancongan.

“Kadar angkitan harian Covid-19 di negeri ini hanya sekitar 20 ke 30 kes. Justeru, JPBN tidak perlu terlampau cemas dan takut sehingga menyukarkan industri pelancongan dengan MATTA cawangan Sarawak mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya rasa mesti ada sebabnya mereka mengeluarkan kenyataan tersebut. Itu bermakna MATTA telah mendapat banyak aduan daripada orang ramai,” tambahnya

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan berkenaan kenyataan MATTA cawangan Sarawak bahawa sistem EnterSarawak menambah beban terhadap industri pelancongan pada sidang media selepas program Malam Apresiasi MySS 2021 di Hotel Pullman, di sini, semalam.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan tidak setuju mengenai polisi baharu yang rakyat Sarawak dari luar negara perlu menjalani kuarantin di Kuala Lumpur, namun kerajaan negeri masih perlu membayar kos hotel tersebut.

“Mengapa Kerajaan Sarawak membayar kos hotel di Semenanjung? Anda juga boleh membantu hotel di Sarawak dengan melaksanakan kuarantin di negeri ini,” ujar Abdul Karim.

Tegasnya, Sarawak sudah mempunyai JPBN dan mereka tidak boleh membiarkan agensi nasional menentukan keputusan untuk negeri ini.

Suara Sarawak