Kejayaan seluruh rakyat Kuala Rajang

TANJUNG MANIS: Datuk Len Talif Salleh menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan seluruh rakyat Kuala Rajang.

Kejayaan itu katanya, merupakan sebahagian terjemahan warga Kuala Rajang yang mahu kesinambungan pembangunan di Dun Kuala diteruskan.

Menurutnya, melalui kemenangan berkenaan bermulalah era baharu perjuangannya membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan seluruh rakyat di Kuala Rajang.

“Begitu juga dengan seluruh jentera parti yang bertungkus lumus, bekerja keras sebelum dan sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada kepada Suara Sarawak.

Len Talif juga menyifatkan kemenangannya sebagai amalan demokrasi sihat yang memberi mandat sepenuhnya kepada rakyat untuk memilih pemimpin.

Sehubungan itu, Len Talif juga menggesa seluruh warga Dun Kuala Rajang bersatu hati dan mendukung sepenuhnya agenda kerajaan membangunkan kawasan terbabit.

“Yang penting kita mahu membawa Kuala Rajang ke arah yang lebih gemilang.

“Ketepikan perbezaan politik, ayuh bersama saya bergerak seiring menuju ke era kejayaan,” tegasnya.

Len Talif berjaya mempertahankan kerusi Dun Kuala Rajang dengan undian sebanyak 5,268 undi menewaskan calon Bebas Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi (1,943 undi), Wong Ling Ching dari PBK (109) dan Abd Mutalib Abdullah daripada calon Bebas (168).

Beliau menang dengan majoriti sebanyak 3,325 undi.

Suara Sarawak