Kejohanan Badminton SSC Sarawak bermula hari ini

KOTA SAMARAHAN: Persatuan Badminton Samarahan (PerBas) memulakan langkah proaktif dengan menganjurkan Kejohanan Litar Badminton Junior SSC Sarawak (SJBC) di Arena Sukan Kota Samarahan, hari ini.

Kejohanan tersebut menyaksikan seramai 41 penyertaan daripada golongan muda di kawasan Kota Samarahan.

Ia sebagai usaha membangunkan sukan itu bermula daripada peringkat akar umbi di samping menyokong platform anjuran Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) diuruskan oleh Persatuan Badminton Kuching (KBA).

SSC dalam satu kenyataan hari ini berkata, platform tersebut merupakan usaha untuk mencungkil minat serta membentuk sahsiah dan semangat kesukanan dalam kalangan pemain muda.

“Beberapa daerah menunjukkan minat untuk mengadakan lebih banyak pertandingan dan kita akan mengadakannya tanpa had di setiap bahagian.

“Ia menerusi bahagian akan mendapat subsidi untuk anjuran acara dan pada dasarnya tiada kos tambahan perlu ditanggung oleh penganjur,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, SJBC akan terus proaktif dengan menjangkakan lebih 20 acara akan diadakan tahun ini namun bergantung kepada situasi Covid-19 semenjak dilancarkan pada Januari lalu.

Bagaimanapun penganjur perlu berbincang dan bekerja erat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana(JPBN) Sarawak di bahagian masing-masing untuk memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard(SOP).

Terdahulu, SJBC pertama telah diadakan di Dewan Tertutup Serbaguna Petra Jaya berjaya menarik seramai 58 peserta dari kawasan Kuching.

Lima kategori dipertandingkan lelaki bawah 11 tahun, bawah 13 dan bawah 15 manakala perempuan bawah 13 dan bawah 15.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengurus SSC-SJBC bersama SSC dan Persatuan Badminton Kuching selepas mengadakan mesyuarat baru-baru ini menerusi mesyuarat Zoom.

Antara yang hadir mesyuarat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee, Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan(SSC), Ahmad Rodzli Hashim, Pegawai Pembangunan Sukan Nikram Shazran dan Pengarah kejohanan Lawrence Chew.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak