Kejohanan Sepak Takraw Belia Siri I:  Kaputeng muncul juara

KUCHING: Regu Kaputeng menepati ramalan muncul juara dalam Kejohanan Sepak Takraw Belia, Siri Jelajah Gelanggang (Siri I) Piala Dato Sri Fadillah Yusof 2021.

Kejayaan tersebut membolehkan pemain regu pilihan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Naib juara milik regu Yong Heng dan turut menerima wang tunai RM500, piala dan pingat.

Manakala, dua regu yang tewas di peringkat separuh akhir iaitu Taman Rasa Jaya dan Bentara masing-masing menerima wang tunai RM200, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Naib Presiden Saberkas Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup.

Pengerusi Kejohanan, Mohammad Bakri menyatakan, kejohanan selama dua hari yang berlangsung pada 4 dan 5 Disember lalu telah disertai 32 regu handalan sekitar Kuching dan Samarahan.

Kejohanan dianjur oleh Kelab Kacool Kuching dan berlangsung di dua gelanggang iaitu gelanggang sepak takraw Kampung Kudei Ulu dan Dewan Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS), Petra Jaya.

Suara Sarawak