Kelulusan RUU menepati proses undang-undang

SARATOK: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan perjuangan yang menepati proses undang-undang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut juga menunjukkan keluruhan undang-undang di Malaysia masih terjaga.

“Saya mengalu-alukan pindaan RUU yang telah diluluskan tersebut khasnya melibatkan Perkara 160(2) yang menjelaskan mengenai MA63 dalam definisi persekutuan.

“Selain daripada perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dimasukkan juga MA63 yang melibatkan lampiran iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Justeru, ini adalah sebahagian daripada kandungan Perlembagaan Malaysia dan semangat kami di Sarawak khasnya, mungkin juga rakan kita di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN Bagi Kawasan Krian, Saratok, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah membentangkan bacaan kali kedua RUU berkenaan pada 14 Disember lalu dan perkara tersebut juga telah diluluskan pada hari yang sama.

RUU tersebut diluluskan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang sekali gus memberikan pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah serta Sarawak dalam menyertai Malaysia.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak