Kemalangan motosikal catat jumlah tertinggi di Sarawak

SERIAN: Penunggang dan pembonceng motosikal mencatat statistik jenis kemalangan tertinggi di Sarawak pada tahun lalu dengan sebanyak 430 kes di seluruh negeri.

Menteri Muda Pengangkutan Datuk Jerip Susil berkata, jumlah tersebut diikuti kemalangan kenderaan pacuan empat roda dengan 199 kes bagi tempoh yang sama.

“Menerusi statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, sejumlah 552,000 kes kemalangan berlaku pada tahun 2010 dan ia meningkat kepada 875,000 pada tahun 2020.

“Kira-kira 20 peratus menunjukkan peningkatan kemalangan membabitkan penunggang motosikal.

“Justeru perkara ini amat membimbangkan kita khususnya terhadap warga generasi muda yang kebanyakan memilih untuk menunggang motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penyerahan sumbangan Kempen ‘Road Safety’ dengan menyumbangkan sebanyak 350 topi keledar dan jaket keselamatan kepada pengguna motosikal di Siburan, hari ini.

Bagi memastikan penurunan statistik kemalangan tersebut katanya, kempen kesedaran kemalangan membabitkan pengguna motosikal akan diperluaskan menerusi kerjasama daripada agensi pelbagai termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain secara berkala.

“Justeru diharap kempen sedemikan dapat memberi kesedaran kepada warga pengguna jalan raya agar menunggang motosikal secara berkhemah dan berhati-hati khususnya di kawasan jalan utama menuju ke bandar,” tegasnya.

Suara Sarawak