Kerajaan Sarawak ambil berat kebajikan anggota ATM

SIBU: Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil berat kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjaga dan mengawal keselamatan negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai tanda penghargaan kepada pengorbanan dan jasa anggota ATM, Kerajaan Sarawak telah menyumbang aset kawalan pertahanan sempadan kepada ATM negeri ini di Kem Muara Tuang baru-baru ini.

Katanya, penyerahan aset kawalan sempadan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperkasa kawalan sempadan di Sarawak.

“Saya akui bukan mudah untuk melaksanakan tugas menjaga keselamatan negeri oleh kerana faktor keluasan dan bentuk muka bumi Sarawak yang mencabar.

“Namun saya percaya saudara saudari dapat memikul tanggungjawab ini dengan baik melalui kejayaan dari pelbagai aspek seperti kawalan keselamatan di sempadan negara jiran, Indonesia dan Brunei Darussalam,” katanya dalam majlis perjumpaan bersama anggota Tentera Darat di Kem Rascom, di sini hari ini.

Malah, beliau turut berbangga dengan kejayaan tentera darat mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan membanteras penyeludupan di negeri ini serta menjadi barisan hadapan dalam usaha negeri ini mengekang penularan Covid-19.

Turut hadir, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar, Panglima 31 Briged Brigedier Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid dan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah Kolonel Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Suara Sarawak