Ketua kaum dan masyarakat diseru terus bekerjasama dengan kerajaan

MUKAH: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) diseru untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi memastikan agenda pembangunan di negeri ini dapat diteruskan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka merupakan pemimpin di peringkat akar umbi dan penting untuk mengetahui segala hala tuju dan dasar yang digubal kerajaan berdasarkan keperluan rakyat.

“Di Sarawak, pentadbiran kita berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Pemimpin masyarakat dan kerajaan ini ibarat pepatah Melayu – bagaikan aur dengan tebing.

“Ini cara kita mentadbir di peringkat akar umbi hingga ke tertinggi yang kini membawa impak positif kepada masa hadapan Sarawak,” katanya pada Program Pemimpin Bersama Masyarakat, di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyeru KMKK menjalankan tugas seperti yang diamanahkan dan mengingatkan mereka supaya menjaga keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.

“Insya-Allah, selagi GPS ada, kami sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat negeri ini,” ujarnya lagi.

Pada program yang sama, Abang Johari menyerahkan sebanyak 505 hak milik tanah (pertanian) bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (SLC) kepada 485 pemilik tanah di kawasan Telian dan Balingian.

Sementara, seramai 62 orang lagi menerima surat kelulusan projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Baru Oya dan 34 orang menerima surat kelulusan projek SPK Senau Fasa 1.

Suara Sarawak