Lebih 21,000 pelajar berhenti sekolah

ISU pemberhentian pelajar bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini ada golongan itu memilih enggan meneruskan pelajaran atas sebab tersendiri.

Ada yang berhenti sekolah disebabkan masalah, sama ada guru atau pelajar, masalah persekitaran sekolah, ingin waktu belajar lebih fleksibel atau terikat dengan komitmen lain.

Tetapi agak menyedihkan jika ada yang berhenti sekolah atas desakan keluarga yang meminta mereka bekerja menyara hidup walaupun sudah diberikan kaunseling oleh pihak sekolah.

Namun perkongsian bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Twitter baru-baru ini yang memaparkan jawapan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin ketika menerima pertanyaan bukan lisan daripada Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berhubung jumlah pelajar berhenti sekolah sememangnya membuka mata semua pihak.

Berdasarkan data dari Mac 2020 sehingga Julai 2021 , jumlah pelajar yang tidak meneruskan persekolahan melibatkan 21,316 orang atau sebanyak 0.22 peratus.

Jumlah itu membabitkan 11,301 pelajar atau 0.24 peratus bagi tempoh Mac hingga Disember 2020 dan 10,015a atau 0.21 peratus (Januari hingga Julai 2021).

Kementerian Pendidikan (KPM) mentafsirkan keciciran daripada sistem pendidikan sebagai situasi pelajar menamatkan persekolahan lebih awal sebelum tamat waktu sepatutnya.

Melihat angka tersebut, ia sangat serius kerana bakal memberi impak kepada negara pada 10 tahun akan datang. Jumlah tersebut amat membimbangkan kerana menggambarkan situasi tidak baik berlaku dalam sistem pendidikan negara.

Tanpa pendidikan yang baik, keperluan tenaga profesional dan tenaga kakitangan pekerjaan negara sudah tentu tidak dapat dihasilkan mengikut kehendak pada masa depan. Lebih merisaukan apabila ada kebarangkalian peningkatan jumlah gelandangan dan jenayah yang tinggi pada masa akan  datang jika masa depan anakanak ini tidak diurus dengan baik.

KPM perlu mengambil serius perkara ini sebelum menjadi trend dan menghancurkan masa depan bakal pelapis negara. Ini kerana kegagalan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu berkenaan, dikhuatiri mencetuskan pelbagai masalah berkaitan masa depan pelajar dan negara.

Pendidikan memainkan peranan penting untuk mencapai kualiti hidup yang menjadi petunjuk terpenting dalam hidup manusia. Dengan pendidikan, kita dapat mempelajari pelbagai kemahiran kehidupan sama ada di rumah, komuniti, serta di tempat kerja. Perlu diingatkan, bidang pendidikan menjadi tempat untuk melahirkan tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang.

Pada era globalisasi ini, penguasaan dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan amatlah penting kerana bakal menjadi tunjang pembangunan negara. Pembangunan sesebuah negara sudah pasti terjejas jika hal berkaitan dengan pendidikan diabaikan.

Misi menjadi negara maju hanya mampu direalisasikan jika ada pekerja mahir dalam setiap bidang yang dikehendaki terutama berkaitan dengan pembangunan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya seseorang tanpa ilmu pengetahuan itu menerajui kepimpinan negara.

Sudah pasti sistem pentadbiran negara menjadi kucar-kacir, lebih parah jika pembangunan negara kita terbantut.

Jika pemimpin negara berilmu, individu ini mampu menyumbangkan idea bernas dalam membangunkan negara, maka jelaslah pendidikan penting bagi pucuk pimpinan sesebuah negara. Justeru, kajian dan penelitian perlu dilakukan bagi mengenal pasti kes pelajar behenti sekolah selain menangani masalah tersebut dengan sebaik mungkin.

Ada baiknya platform khas untuk golongan ini diwujudkan bagi mendapatkan sokongan moral sekurang-kurangnya dapat berbincang dengan seseorang sebelum mereka mengambil keputusan drastik berhenti sekolah. Jika membuat keputusan untuk berhenti sekolah, pelajar terbabit sekurang-kurangnya diberi peluang meneruskan pendidikan menerusi kaedah alternatif.

Kaedah itu merangkumi belajar di rumah dengan tunjuk ajar keluarga yang layak untuk mengajar, mendapatkan khidmat guru berbayar ataupun menerusi tutor profesional.

Di samping itu, ibu bapa juga diharap memberikan perhatian sebaiknya terhadap pendidikan anak masing-masing demi masa depan mereka. Jangan hanya memikirkan kepentingan jangka pendek yang akhirnya anak-anak terjerumus dalam masa depan yang gelap

Suara Sarawak