Lelaki dipenjara lapan bulan curi elektrik lombong Bitcoin

KUCHING: Lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencuri bekalan elektrik untuk melakukan aktiviti perlombongan ‘bitcoin’ di sebuah kilang tinggal.

Tertuduh Diwan, 25, bekerja sebagai penjaga premis terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini, dan diserahkan kepada pihak Imigresen selepas tamat hukuman untuk tindakan lanjut.

Mengikut pertuduhan, Diwan didakwa melakukan kegiatan terbabit di sebuah kilang lama di Jalan Bako, kira-kira jam 12.22 tengah hari, 26 Julai lalu.

Berdasarkan semakan syarikat Sesco, aktiviti itu dianggarkan telah beroperasi lebih kurang dua bulan setengah hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM110,500.

Siasatan awal, mendapati tertuduh yang mempunyai permit sah memasuki Malaysia telah bekerja di kilang berkenaan sejak awal Julai lalu, dengan bayaran gaji RM1,000 sebulan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33(3) Ordinan Elektrik (Bab 50) Undang-undang Sarawak dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara lima tahun dengan atau tanpa denda.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak