Lelaki mati ditembak polis bersenjatakan senapang patah

KUCHING: Lelaki yang mati ditembak polis dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga di sini, semalam adalah bersenjatakan senapang patah.

Justeru, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata untuk mempertahankan diri, anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terbabit melepaskan dua das tembakan ke arah suspek.

“Polis telah merampas selaras senapang patah dan beberapa butir peluru hidup dari dalam kenderaan suspek.

“Suspek disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah semakan juga mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau dengan pelbagai kesalahan seperti curi kenderaan, penipuan dan penyalahgunaan dadah.

Aidi berkata bedah siasat dilakukan di Hospital Umum Sarawak hari ini.

Beliau menambah polis akan menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh, serta menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian agar tidak menjejaskan siasatan.

Terdahulu, Aidi berkata kira-kira jam 7.20 malam semalam, lima anggota polis trafik IPD Kuching sedang menjalankan tugas rondaan di Jalan Wan Alwi dan telah terserempak dengan suspek, yang memandu Proton Saga dalam keadaan mencurigakan.

Katanya pasukan polis trafik terbabit telah mengarahkan suspek berhenti untuk diperiksa namun suspek memecut kenderaannya dan cuba melarikan diri.

Beliau berkata apabila sampai di persimpangan lampu isyarat di Jalan Simpang Tiga, kenderaan suspek telah melanggar lima buah kenderaan awam.

Aidi berkata demi menjaga keselamatan dan harga benda orang awam, anggota polis trafik terbabit telah melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek menyebabkan kenderaannya berhenti.

“Selepas itu, pengadu bersama rakan  setugas cuba menghampiri kenderaan suspek untuk pemeriksaan.

“Tiba-tiba pengadu terlihat suspek memegang selaras senjata api dan untuk mempertahankan diri, pengadu melepaskan dua das tembakan ke arah suspek,” katanya.

Suara Sarawak