Liga Sri Aman 2021 disambung tahun depan

KUCHING: Saingan Liga Sri Aman 2021 yang ditangguh sebelum ini akan diteruskan pada awal tahun depan, kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) Alfred Kendim.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan belum ada kelulusan diperoleh daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sarawak untuk menyambung kembali baki perlawanan sedia ada.

“Justeru, pihak kami terpaksa menganjakkan jadual perlawanan ke tahun depan,” ujar Alfred kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau menjelaskan, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada semua pengurus pasukan bertanding dan segalanya bergantung kepada situasi semasa pandemik.

Liga Sri Aman 2021 yang bermula bulan Januari lalu disertai sejumlah sembilan pasukan yang dibahagi kepada dua kumpulan.

Kumpulan A terdiri dari Merpati Team, Azam FC, Jaspa FC, Rimong Croc United dan PC United.

Manakala, empat lagi pasukan iaitu Datus United, The Cop’s FC, Englant FC dan Cyber Croc berada dalam Kumpulan B.

Suara Sarawak