Majikan mesti benarkan pekerja keluar mengundi

KUCHING: Semua majikan hendaklah membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak, esok hari.

Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mana-mana majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan.

Menurutnya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.

“SPR juga berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi mengikut masa seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa tersebut, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan.

“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya SPR sudah menjalankan semakan peralatan mengundi bagi memastikan proses mengundi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak berjalan lancar, esok hari.

“Ia termasuk menyemak peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya.

“Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi hari pengundian adalah lengkap dan berkeadaan baik.

“Peralatan tersebut diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya sebanyak 1,866 pusat mengundi dan 3,555 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 46,565 orang petugas.

“Sementara seramai 1,213,769 orang pengundi bakal mengundi pada PRN-12 kali ini,” jelasnya.

Suara Sarawak