Malawi disenarai, 8 negara disekat sementara masuk Sarawak

KUCHING: Negara Malawi tersenarai dalam sekatan penerbangan terus atau transit dari negara yang merekodkan penularan atau risiko tinggi penyebaran VOC Omicron ke Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini yang mengumumkan negara Malawi tersenari dalam sekatan tersebut.

“Ini menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan buah iaitu Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Malawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, JPBN menegaskan hanya warganegara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka-panjang (PR status, spouse visa, Sarawak Malaysia My Second Home (SMM2H) yang pulang ke Malaysia dari Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zimbabwe dan Malawi atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara tersebut dibenarkan memasuki Sarawak.

“Mereka yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara-negara tersebut juga dibenarkan memasuki dengan mematuhi beberapa syarat termasuk membuat permohonan dalam sistem EnterSarawak, menjalani kuarantin wajib 14 hari tanpa mengira status vaksinasi.

Tegas JPBN, kuarantin di rumah dan transit ke destinasi lain adalah tidak dibenarkan sehingga lengkap tempoh kuarantin.

“Selain itu, mereka perlu melakukan ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) tiga hari sebelum berlepas dan keputusan Swab Ujian RT-PCR pada hari ke-12 adalah negatif sebelum diberi kebenaran penamatan dari kuarantin.

“Dalam pada itu, pengembara dari luar negara wajib melaporkan sejarah perjalanan kepada petugas di lapangan terbang.

“Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya memberi maklumat palsu atau gagal melaporkan sejarah perjalanan terdahulu,” jelasnya.

Sementara itu, JPBN memberitahu bahawa pengembara bukan warganegara Malaysia dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi dalam tempoh 14 hari akan disekat perjalanan sementara.

“Di samping itu, kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara terlibat ditangguhkan sementara dan langkah-langkah kawalan dan pencegahan di atas berkuatkuasa serta-merta,” tambahnya.

Dapatkan kandungan menarik kami di media sosial:
Klik Di Sini -->> Facebook | Tiktok | InstagramYoutube | |  Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak