Manifesto akan ditunaikan

KUCHING: Janji yang terbuku dalam manifesto akan ditunaikan selangkah demi selangkah dalam tempoh lima tahun yang telah diamanahkan untuk bertugas sebagai wakil rakyat, kata Adun Kota Sentosa, Wilfred Yap.

Menurutnya, perkara yang perlu diutamakan selepas ini adalah mengotakan janji kepada rakyat kerana mereka sudah memberi kepercayaan kepada wakil GPS untuk melaksanakan segala janji yang ditawarkan semasa berkempen dahulu.

“Namun, saya berharap orang ramai dapat memberi sedikit masa dan ruang kepada kami semua untuk merehatkan diri beberapa hari agar dapat mengembalikan semula tenaga yang sudah digunapakai sepanjang dua minggu ini.

“Rakyat Sarawak telah memberikan saya peluang untuk mewakili mereka dalam kawasan Dun Kota Sentosa ini.

“Justeru kita akan sedaya upaya memastikan janji yang ditawarkan dapat dipenuhi,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Media GPS berlangsung, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Sokongan dan dorongan yang diberikan oleh penduduk di kawasan tersebut untuk mengundi GPS sangat mengharukan, dan ini mungkin disebabkan oleh keyakinan mereka terhadap manifesto yang telah didedahkan sebelum ini.

Beliau juga sempat menjelaskan bahawa penduduk di kawasan tersebut pasti mempunyai jangkaan yang tinggi berkaitan janji yang ditawarkan sebelum ini, menyebabkan orang awam berani memberikan undi kepadanya.

Selain itu jelasnya, Kerajaan GPS juga akan memberikan peruntukan bersesuaian dengan kawasan Dun Kota Sentosa yang sudah menjadi sebahagian daripada GPS.

Ini demi memastikan manifesto yang dijanjikan dapat ditunaikan secara berperingkat, pada masa sama membawa pembangunan di kawasan tersebut.

Wilfred juga sempat menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana memberikan peluang kepada dirinya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi penggal kali ini sekali gus menjadikan kemenangan tersebut yang pertama baginya.

Suara Sarawak